Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.

Secara umumnya kita mengetahui selepas runtuhnya Yugoslavia, Bosnia Herzegovina telah diserang oleh negara jiran terdekat iaitu Croatia dan Serbia.  Jika Mostar teruk diserang oleh Tentera Croatia di sebelah Barat Bosnia, Sarajevo pula teruk dibedil oleh Tentera Serbia di sebelah timurnya. Maknanya semasa Perang Balkan terjadi, Bosnia Herzegonia yang berada di tengah-tengah Yugoslavia suatu ketika dahulu telah diserang oleh 2 buah negara dari kiri dan kanan.

Majoriti rakyat Bosnia Herzegovina beragama Islam. Walaupun Nino (Tour Guide di Mostar) menyatakan Perang Bosnia berlaku disebabkan oleh perebutan wilayah di mana Serbia ingin meluaskan lagi wilayahnya dengan mengambil wilayah Bosnia menjadi milik Serbia, begitu juga dengan Croatia atas alasan yang sama, tetapi saya lebih yakin ianya semata-mata kerana mahu menghapuskan Islam di bumi Bosnia.

Congakkan saya mudah, Serbia bermahzab Kristian Ortodok dan Croatia beragama Roman Katolik sedang Bosnia pula beragama Islam. Peluasan wilayah oleh Serbia dan Croatia ke atas Bosnia dengan maksud yang lain mahu menghapuskan etnik Bosnia yang beragama Islam. Kedua-duanya Serbia dan Croatia mempunyai musuh yang sama iaitu Islam. Kerana itu mereka berganding sama menyerang Bosnia yang kebanyakkan penduduknya ialah petani dan bukannya tentera.

Pemandangan sepanjang jalan

Perjalanan menuju Sarajevo telah memperlihatkan keindahan landskap alam semula jadi mukabumi Bosnia yang amat cantik dan menyedapkan mata. Hanya pujian kepada Allah yang selayaknya diucap apabila melihat keindahan bumi Bosnia.

Di sepanjang perjalanan menuju ke Sarajevo, kami melalui kawasan laluan di mana kanan dan kiri ialah banjaran gunung yang di puncaknya salji, langit cerah yang membiru, awan yang memutih menghiasi langit sementara di kawasan bawahnya pula merentas Sungai Neretva sepanjang 280km yang airnya jernih kehijauan benar-benar memukau mata yang yang memandang.

Tak terucap dengan kata-kata betapa cantiknya permandangan muka bumi Bosnia. Allahuakbar….Allah yang Maha Besar dan Maha Pencipta yang telah menghadiahkan keindahan alam semulajadi Bosnia. Sungguh menakjubkan ! Andai kami datang ketika musim panas, saya yakin pemandangan yang kita lihat pasti lebih cantik kerana dapat melihat gunung ganang yang lebih jelas menghijau dengan dihiasi langit yang membiru di atasnya, sedang di bawah mengalir pula sungai jernih kehijauan yang memanjang sepanjang perjalanan.

Pemandangan dari luar Restoran amat mengasyikkan

Kami berhenti sebentar untuk makan tengahari di sebuah restoran yang berada di tepi jalan yang bersebelahan dengan sungai dan banjaran gunung. Pemandangan di luar restoran ini sememangnya cantik dan saya tambah berselera apabila hidangan utama tengahari ini ialah kambing bakar.

 

Menghampiri Sarajevo

Perjalanan panjang merentasi banjaran gunung bersalji di puncaknya dan aliran air Sungai Neretva yang memanjang seperti berakhir sebaik menghampiri Sarajevo. Pemandangan yang dilihat selepas itu ialah deretan perkampungan masyarakat setempat yang berlatar belakang banjaran gunung. Dan sememangnya pun rumah-rumah masyarakat setempat banyak yang didirikan di lereng-lereng bukit.

Ada juga saya lihat Hotel Penginapan dan juga rumah-rumah Banglo yang dijadikan rumah tumpangan untuk pelancung atau pengembara.

Memasuki Sarajevo

Ketika kami sampai di Sarajevo, hari sudah lewat petang. Berbeza dari bandar sebelumnya seperti Skopje, Tirana, Kotor, Dubrovnik dan Mostar, kota Sarajevo dilihat sibuk dan tidak sunyi. Satu pemandangan penduduk Sarajevo yang seperti baru pulang dari kerja.

Ada yang dilihat sedang menunggu bas, manakala keretapi eletrik ala LRT penuh sesak dengan penumpang yang mahu kembali ke rumah masing-masing.

Keadaan jalan raya juga agak sesak berbanding di kota lain sebelum ini sehingga melambatkan perjalanan kami untuk sampai ke destinasi yang dituju.

Oleh kerana hari sudah semakin lewat maka lokasi pertama yang kami mahu tuju ialah Masjid untuk melakukan Solat Jama’ Takhir.

bersambung……..insyaAllah