Assalamualaikum wbt…dan bertemu kembali.

Pertama kali menginap di Houseboat di  Tasik Dal, Srinagar benar-benar memberikan pengalaman yang amat bermakna. Saya tidak menyangka menginap di Houseboat jauh lebih mengujakan berbanding menginap di Hotel. Terasa sayang hanya dapat 2 malam menginap di Houseboat kerana 1 malam lagi dipindahkan ke hotel pula.

Sebelum tiba di sini, ada rakan yang menyatakan sebaiknya menginap di houseboat cukup 1 malam sahaja dan selebihnya menginap di hotel..tetapi saya sudah lupakan hotel pabila dapat peluang menginap di Houseboat.

Kenapa ?

Saya dapat rasakan suasana yang tenang dan mendamaikan ketika berada di Tasik Dal. Dan itulah juga tujuan kita untuk bercuti sebenarnya iaitu untuk mendapatkan ketenangan minda. Bebas dari rasa stress.

Ketika memasuki Houseboat saya tak sangka hiasan dalamannya begitu antik dan klasik sekali. Macam hotel 4 bintang.

Keseluruhan perkasasan perabut berasaskan kayu yang mempunyai ukiran cantik dan menawan. Amat kreatif seni pertukangan tangan orang di sini.

Suasana kehidupan di Tasik Dal

Menjelang malam, suhu di Tasik Dal begitu sejuk sekali. Kami semua memakai baju tebal kerana kesejukkan. Sesekali kami disapa oleh pedagang-pedagang yang menggunakan perahu sebagai pengangkutan dagang mereka. Kerana baru malam pertama kami di sini, maka kesemua ahli Houseboat kami masuk bilik awal.

Sebelum Subuh, sudah kedengaran penduduk di sini  membaca al-Quran di masjid-masjid berhampiran. Sayup-sayup kedengaran di kiri dan kanan houseboat kami. Satu suasana yang menunjukkan masyarakat di sini menitikberatkan agama. Allahuakbar Maha Suci Allah! Jiwa rasa tenang tenteram apabila suasana agama sentiasa di sekeliling kita walau kita jauh dari Tanah Air.

Suasana pagi di Tasik Dal begitu tenang dan mengasyikkan. Setenang air Tasik Dal. Udara segar yang dihirup terasa bersih dan bebas dari pencemaran. Sesekali kelihatan pedagang berperahu menjual barang dagangannya dan menyapa kami di Houseboat. Saya cuma senyum saja dan menolaknya dengan baik.

Terasa seperti mahu tinggal di sini saja. Tapi sedar di sini bukanlah tempat kita. Kita datang nak bercuti aje…buang jauh-jauh angan-angan tu.

Tapi saya merancang mahu ke sini lagi insyaAllah. Percutian bersama isteri sememangnya menyeronokkan. Tetapi jika dapat bawa anak-anak bersama, alangkah baiknya. Justeru kami merancang nak bawa kesemua anak-anak pada musim Cuti Raya Korban ni. InsyaAllah solat Raya di Srinagar. Hanya musim cuti Raya Korban sahaja anak-anak yang di universiti dan sekolah dapat cuti serentak.

Pakej Kashmir Ogos sempena Raya Korban

Ha…ha…jika ada yang nak join kami amat dialu-alukan. Ajwa Travel set Pakej Kashmir dari 19 Ogos hingga 25 Ogos 2018 pada harga RM4380 seorang. Yang daftar awal sebelum 1 Syawal diberi diskaun RM200 seorang. Hanya perlu bayar deposit RM1000/seorang sebagai komitmen.

Mungkin ada yang nak buat ibadah Korban di Kashmir ! Di sini seekor lembu sememangnya murah, tapi kambing mahal sebab orang sini lebih suka makan kambing dari lembu.

Sarapan Pagi di Houseboat

Selepas selesai kami solat Subuh, Pelayan Houseboat yang kami panggil Haji (nama sebenarnya Ghulam Rasul) menyediakan Sarapan Pagi untuk kami. Kami cuma perlu makan sahaja kerana kesemuanya telah dilengkapkan oleh Haji.

Sebenarnya semenjak semalam lagi ketika kami lunch dan dinner, kesemuanya dilengkapkan oleh Haji di atas meja makan…kami hanya perlu menikmati sahaja apa yang dihidangkan. Nak basuh cawan pun Haji tak bagi. Punyalah kami dilayan macam Maharaja dan Maharani. Dah tugas dia katanya.

Makanan yang disajikan memanglah mengikut sajian orang sini. Tapi kita kan dah biasa makan Nasi Beriyani dan makanan orang India yang mesti ada kari dan masala. Jadi layan aje la. Nak harap makan Nasi Lemak jangan bermimpilah. Ni bukan tempat kita. Akan tetapi secara keseluruhan makanan yang dihidang kesemuanya sedap dan memenuhi selera. Syukur alhamdulillah puji-pujian kepada Allah atas nikmatNya.

Kemudahan dalam Houseboat

Untuk makluman di Houseboat tidak ada aircond. Ianya tak diperlukan di sini. Suhu di Tasik Dal sentiasa sejuk sepanjang musim. Bezanya di musim salji turun suhunya sejuk melampau dan ketika di tempat lain panas, suhu di Tasik Dal masih lagi sejuk sekitar 20 darjah celcius. Ketika kami di sini suhu di waktu malam dan awal pagi memang sejuk giler. Sampai ada yang mengaku takut mandi pagi kerana kesejukkan. Ditambah lagi dengan angin yang bertiup menambahkan lagi rasa sejuk di badan.

Saya agak terkejut Houseboat kami menyediakan kemudahan wifi. Setelah mendapat tahu, apa lagi mulalah masing-masing rajin memegang gadget untuk baca whatsapp dan facebook. Lagipun peluang berinternet hanya masa kami di Houseboat kerana masing-masing tak membeli simcard data di sini. Nak beli simcard terasa sayang pula setelah mendapat tahu simcard yang diguna di Srinagar tidak boleh diguna di New Delhi dan Agra.

Television juga ada di setiap bilik dan juga di ruang tamu. Oleh kerana siaran kesemuanya chanel asing maka saya tak berminat untuk menontonnya.

Pelayan merangka Penjaga Houseboat

Semasa menginap di Houseboat kita tidak perlu risau akan keselamatan penghuni. Pelayan Houseboat kami juga turut “stay” dengan kami. Beliau akan tidur di ruang tamu bahagian depan pintu Houseboat sementara kami tidur di bilik masing-masing di bahagian belakang.

Sebelum ini ada yang memaklumkan kepada saya menginap di Houseboat tak rasa selesa dan selamat. Ini kerana di sebelah malam sentiasa didatangi oleh pedagang-pedagang yang mahu menjual barangan mereka di Houseboat. Jika tidak mahu diganggu boleh aje maklum pada Pelayan atau Penjaga Houseboat supaya tidak beri kebenaran pedagang masuk. Tetapi ada juga yang suka mereka datang kerana tak perlu bersusah payah membeli barangan.

Membeli belah di Tasik Dal

Jika mahu membeli belah di Tasik Dal, kita kena menaiki Shikara yang akan membawa kita di sepanjang laluan air di Tasik Dal. Kita boleh saksikan terlalu banyak deretan Houseboat yang menjual pelbagai barang dagangan.

Jika kita mahu membeli hanya perlu singgah dan masuk ke dalam Houseboat yang berkenaan.

Macam-macam barangan ada dari Permaidani, pakaian, jaket kulit, barangan textile, bag tangan, cenderahati dan lain-lain. Jangan terkejut Houseboat yang jadi Kedai Farmasi pun ada.

Sepanjang perjalanan menaiki Shikara, kita juga akan disapa dan didatangi pedagang yang menaiki perahu. Mereka menawarkan barang dagangan mereka. Yang tak sampai hati ada juga yang membeli. Saya cuma beli buah-buahan aje.

Program Shopping di Tasik Dal

Sayang jadual kami di Srinagar agak padat maka program shopping dengan menaiki Shikara hanya dapat dilakukan pada hari terakhir kami “check out” Houseboat. Terlebih dahulu kami dibawa melawat Kilang Kain Sutera India.

Sesampai di sini kami diberi penerangan mengenai aktiviti pengilangan di sini dan kemuncaknya kami dibawa ke tingkat atas untuk membelibelah.

Terlalu banyak kain-kain buatan sini yang dijual. Kaum hawa sememangnya minat dalam hal-hal melontar ni..kami kaum Adam tengok aje la. Ada juga yang sukarela jadi model memperagakan pakaian Sari India. Agak lama juga kami di kedai Houseboat ni.

Setelah puas membeli belah dan memperolehi barang yang dihajati kami terus meninggalkan tempat ini untuk jadual seterusnya iaitu melawat Pahalgam dengan menaiki kenderaan darat pula.

Selepas ini cerita mengenai Gullmag dan Pahalgam pula….jumpa lagi dan Wassalam.