Assalamualaikum wbt. dan bertemu lagi.

20161125_081642

Pengalaman melawat Banjarmasin memang selalu menyeronokkan. Tambahan pula membawa ahli rombongan yang mesra dan ramah ibarat sebuah keluarga menjadikan perjalanan yang jauh jadi menghiburkan dan menyeronoknya. Sebenarnya ada 2 catatan pengalaman membawa rombongan ke Banjarmasin baru-baru ini yang mahu saya kongsikan. Rombongan pertama semasa bulan November tahun lepas sebelum saya ke Makkah menguruskan jemaah Umrah Ajwa Travel.

IMG-20170327-WA0030 (1)

Rombongan kedua pula pada bulan Mac yang lalu di mana sahabat baik saya Ustaz Salehuddin Nasir ikut serta. Oleh kerana susunan aturcara perjalanan lebih kurang sama, maka ada baiknya saya ceritakan pengalaman baru yang belum kami rasai sebelumnya iaitu melawat daerah perkampungan dayak di Loksado dan juga aktiviti “bamboo rafting”.

Tempat lawatan seperti Makam Kiyai Syeikh Arsyad al-Banjari, Pasar Terapung, pelombongan intan dan lain-lain tempat di Banjarmasin telah saya ceritakan dalam entry terdahulu. Pembaca boleh baca pada tajuk entry terdahulu seperti Pengalaman Melawat BanjarmasinPengalaman Melawat Banjarmasin – Siri 2Hari ke-3 di Banjarmasin

Penerbangan ke Banjarmasin

Saya seperti menunggu buah yang tak gugur apabila mendengar ura-ura Airasia akan membuat penerbangan ke Banjarmasin. Tunggu punya tunggu akhirnya sampai sekarang ianya belum terlaksana. Terpaksalah kami menggunakan penerbangan Lion Air untuk ke sana. Samada mengikut sektor transit sebentar di Jakarta (pada November 2016) kemudian ke Banjarmasin atau boleh juga transit sebentar di Surabaya sebelum ke Banjarmasin (seperti kunjungan bulan Mac baru-baru ini).

Anehnya baik di Jakarta ataupun Surabaya, kami terpaksa mengambil sendiri bagasi yang telah di check in semasa di KLIA dan bawa sendiri menaiki bas shuttle, keluar dari bangunan Terminal Antarabangsa menuju ke Terminal Domestik untuk menukar penerbangan ke Banjarmasin. Keadaan seperti ini agak melecehkan. Kita sedia maklum kebiasaannya jika transit bagasi hanya diambil di destinasi akhir penerbangan dan bukan semasa transit. Hati kecil merungut tetapi apakan daya.

Tiba di Banjarmasin

Airport Banjarmasin tidaklah sebesar mana dan tiada Kaunter Imigresen di bangunan Terminal. Ketika kami sampai di Banjarmasin, baik semasa bulan November lepas mahupun bulan Mac baru-baru ini, ketika mahu keluar selepas mengambil bagasi masing-masing, kami telah ditahan oleh petugas airport yang mahu memeriksa dan memastikan bagasi yang keluar bersama kami adalah benar-benar milik kami. Boleh jadi pernah berlaku penumpang yang kehilangan bagasi mereka akibat diambil oleh penumpang yang lain.

Terpinga-pinga ahli rombongan bila tidak dibenarkan keluar dengan bagasi masing-masing selagi tidak ditunjukkan “tag atau sticker luggage” bagi membuktikan bagasi berkenaan benar-benar milik empunya diri. Pabila jemaah mengadu kepada saya mengenai hal yang sedemikian, maka dengan segera saya memberitahu Petugas Airport yang berkenaan bahawasanya semua bagasi jemaah Ajwa Travel telah diberi tanda sticker Ajwa Travel berwarna kuning, jadi tak perlu diperiksa akan kesahihannya. Jika tiada sticker Ajwa di bagasi, barangkali proses keluar dari bangunan Terminal akan mengambil masa yang lama.

20170325_154011

Sebaik keluar dari bangunan terminal airport, kami terus dibawa menaiki bas menuju ke hotel penginapan. Sebelum itu kami singgah terlebih dahulu di Restoran yang berada tidak jauh dari Bandara (istilah airport bagi orang Indonesia). Tidak dinafikan menu sajian orang Banjar sememangnya sedap dan menyelerakan. Saya perhatikan semuanya licin di atas meja.

Daerah Loksado

Loksado iaitu satu kawasan pendalaman yang lokasinya agak jauh dari Banjarmasin. Daerah Loksado terletak di kawasan pergunungan Meratus di mana masyarakat suku Dayak Meratus tinggal. Menurut Ustaz Yusuf (Tour Guide kami) masyarakat Dayak di sini boleh dipecahkan kepada 3 kumpulan iaitu mereka yang masih berpegang dengan kepercayaan anisme, ada yang beragama Kristan dan ada juga yang sudah memeluk agama Islam.

Mereka yang beragama Kristian dan Islam tinggal di kawasan kampong dan hidup dalam arus permodenan. Mereka sudah menerima bekalan eletrik, menaiki motor ataupun kenderaan darat. Di kawasan kampong juga sudah ada sekolah dan klinik kerajaan. Tetapi ada juga suku Dayak yang masih tinggal jauh di dalam hutan dan masih mengamalkan gaya hidup primitif.

20161126_065117

Ketika kami mula sampai di Loksado ianya sudah gelap dan sudah masuk waktu maghrib. Jadi selepas makan malam dan check in resort di sini, maka kami terus masuk tidur. Almaklum di kawasan resort dan jauh pendalaman sebegini, tiada kemudahan TV dalam bilik penginapan. Kemudahan line internet juga terputus sebaik kami memasuki kawasan Loksado ini.

20161126_080616

Melawat Kampung Masyarakat Dayak

Ahli rombongan dibawa melawat kawasan kampong orang Dayak pada sebelah pagi selepas sarapan. Rombongan yang pertama (November 2016) dibawa berjalan kaki oleh Ustaz Yusuf, tetapi rombongan yang kedua pula (Mac 2017) kesemuanya menaiki motor yang disewa. Mungkin semasa kunjungan yang pertama dahulu saya tidak tahu jarak lawatan dari kawasan resort kediaman kami maka kesemuanya mengambil keputusan berjalan kaki.

20170327_081154

Apabila kunjungan kali kedua, saya memaklumkan kepada jemaah supaya menunggang motorsikal yang disewa Rp50 ribu (sekitar RM15 sekali sewa) kerana sedia maklum keadaan fizikal dan tahap umur ahli rombongan yang kesemuanya warga emas kecuali saya.

20161126_080453

Saya lebih rasa seronok berjalan kaki beramai-ramai kerana terasa lebih dekat dan lebih menjiwai kehidupan masyarakat di sini. Semasa berjalan kaki di kawasan kampong, kami lihat sendiri babi hutan yang jinak dan boleh makan dan berkawan dengan ayam kampung peliharaan orang Dayak. Memang ada rasa takut andai babi hutan yang berkenaan menghampiri kami tetapi mujur ianya tidak berlaku.

20161126_080944

Apabila penat berjalan kaki, kami singgah di warung kampung sambil menikmati minuman panas dan makan pisang goreng panas. Ada juga sebahagian ahli rombongan memasuki salah satu rumah orang Dayak di sini. Bukannya apa..masing-masing nak melepaskan hajat kecil mereka.

20161126_083734

Rumah Balai Adat

Rumah Balai Adat yang ada di kampong ini hanya tinggal kenangan sahaja kerana sudah tidak berpenghuni. Suatu ketika dahulu masyarakat Dayak tinggal beramai-ramai dalam satu rumah adat. Menurut Ustaz Yusuf, bilangannya melebih 100 orang yang terdiri dari beberapa kepala keluarga.

20161126_082712

Rumah Balai Adat ini berbeza dengan rumah panjang sungguhpun bentuknya mirip dengan rumah panjang yang ada di Sarawak. Di dalam Balai Adat ini di kawasan bahagian tepi dibuat beberapa bilik untuk ketua keluarga tidur. Manakala di kawasan tengah dibiarkan lapang kerana di kawasan tengah Balai Adat ini digunakan dalam Upacara Ritual masyarakat Dayak seperti ritual untuk menuai padi atau ritual sebelum bercucuk tanam.

20170327_092326

Kini kebanyakkan masyarakat Dayak Meratus ini tinggal di rumah-rumah yang dibina sendiri atau bantuan kerajaan dan tidak lagi menginap di Balai Adat.

Mata pencarian utama masyarakat Dayak di Loksado ialah bercucuk tanam atau di bidang pertanian. Semasa dalam perjalanan kami ke sini dapat disaksikan tanaman padi bukit tumbuh subur menunggu masa untuk dituai.

20161126_083532

Mereka juga rajin mencari kayu manis yang tumbuh subur di dalam hutan dan boleh dikatakan di setiap rumah masyarakat Dayak di sini ada menjemur kayu manis yang saiznya begitu besar dan panjang.
20161126_114043

Bamboo Rafting

Aktiviti yang mengujakan kami di Loksado ialah Bamboo Rafting. Selepas melawat perkampongan Dayak kami mula check out resort di sini. Kesemua bagasi pakaian kami dibawa masuk ke dalam bas sementara kami pula dibawa menaiki rakit menyusuri Sungai Amandit.

20161126_114813

Setiap rakit dinaiki oleh 2 orang dengan dikemudi oleh seorang yang berpengalaman. Memang menyeronoknya menyusuri sungai dan merentasi beberapa jeram sambil menikmati pemandangan hutan yang menghijau.

20161126_110544

Ketika air tenang kami sibuk mengambil pemandangan di kawasan sekitar dan ketika agak penat duduk di tempat duduk yang lebih tinggi sedikit dari rakit (seperti gambar di atas), saya ambil peluang berbaring terlentang di atas rakit sambil merasai kedinginan air sungai yang sekali sekala agak deras pabila melalui kawasan jeram.

20161126_120437

Jelas terpancar di raut wajah semua ahli rombongan kami betapa seronoknya mereka menikmati aktiviti bamboo rafting ini. Apa taknya..hampir 2 jam kami di atas rakit meredah Sungai Amandit…satu pengalaman manis yang sukar dilupakan. Terasa tenang dan damainya jiwa menikmati dan menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Ilahi.

Selepas naik ke darat di satu kawasan kampong kami pun menukar pakaian kering di salah sebuah rumah di sini dan seterusnya meneruskan perjalanan pulang ke Banjarmasin dengan menaiki bas yang sama yang telah sedia menunggu kami. Dalam perjalanan kami singgah di Kandangan untuk makan tengahari pula.

Cukup di sini dahulu…wassalam.