Assalamualaikum wbt.

baiturrahman

Sudah lama saya teringin untuk melawat Banda Aceh selepas terjadinya Peristiwa Tsunami yang begitu dasyat pada tahun 2004 atau yang tepatnya pada tarikh 26 Disember 2004. Ketika terjadinya peristiwa Tsunami saya berada di Makkah kerana bertugas sebagai Petugas Haji untuk syarikat Zahafiz Travel. Ketika itu saya hanya mengetahui kejadian Tsunami melalui siaran berita di TV Arab Saudi.

Kesempatan melawat Aceh datang secara tiba-tiba apabila rakan saya dari Melaka mempelawa saya mengikut Pakej Melawat Aceh yang ia anjurkan. Maka peluang yang baik ini saya ambil kerana saya juga berhasrat untuk “setting” Pakej Melawat Aceh pada bulan Mei dan Jun 2015 nanti. Maknanya boleh lah saya meninjau tempat dahulu sebelum mempromosikan kepada bakal peserta yang berminat.

kapal atas rumah

Peristiwa Tsunami berlaku dalam tempoh tidak sampai 30 minit tetapi telah menyebabkan kematian ratusan ribu jiwa manusia dan kerosakan mukabumi Aceh yang amat dasyhat sekali. Setelah 10 tahun terjadinya Tsunami kini Banda Aceh berwajah baru dan bangkit dari sejarah kemusnahan yang diakibatkan oleh Tsunami.

Bandar Aceh kini semakin ramai dikunjungi oleh Pengunjung Dalam dan Luar Negari untuk melihat sendiri kesan Tsunami yang ditinggalkan. Hasil dari bantuan kemanusiaan dan kewangan oleh banyak negara luar menyebabkan Banda Aceh kini berwajah baru. Banyak rumah-rumah penduduk yang dibina semula hasil bantuan asing.

Banda Aceh dari sudut Geografi

Ianya terletak di Sumatera Barat. Kita hanya perlu menaiki Pesawat AirAsia untuk ke sana dari KLIA2. Jika sebelum adanya AirAsia, rakyat Malaysia yang mahu ke Banda Aceh perlu ke Medan terlebih dahulu dan dari Medan melalui jalan darat yang mengambil masa yang panjang.

airasiaaceh

Hanya ada satu trip penerbangan AirAsia ke Banda Aceh. Perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit dari KLIA2. Waktu Aceh lewat 1 jam dari waktu Malaysia, sama seperti di tempat lain di Indonesia seperti di Jakarta atau yang lainnya.

Waktu Solat

Waktu Subuh di Banda Aceh ialah pada sekitar jam 5.30 pagi. Ketika waktu ini di tempat kita (Malaysia) sudah jam 6.30 pagi. Maknanya di tempat kita lebih dahulu waktu Subuh berbanding di Banda Aceh. Begitu juga dengan waktu Solat Fardhu yang lain, kita lebih awal berbanding mereka.

Banda Aceh mempunyai banyak Masjid-masjid yang cantik dan unik.  Kebanyakkan Kubah Masjid di Banda Aceh diwarnakan Hitam iaitu warna resmi masyarakat Aceh selain dari warna Merah.  Pastinya kunjungan ke Banda Aceh tidak lengkap jika tidak melawat Masjid yang terselamat dari bencana Tsunami.

Masjid di Bandar Aceh

Saya dimaklumkan Negara Luar terutamanya dari Negara Timur Tengah banyak membantu pembinaan Masjid yang baru dan juga pembaikan Masjid yang dilanda Tsunami.

tsunami2

Kisah keajaiban Masjid yang tidak rosak binasa dan masih kekal megah di tapak binaannya semasa dilanda Tsunami benar-benar mengkagumkan seluruh masyarakat dunia. Mengikut kata orang Aceh mana-mana   Masjid yang dibina dengan wang yang bersih dan halal tidak rosak binasa semasa Tsunami. Ada juga Masjid yang rosak binasa yang mengikut kata masyarakat Aceh dibina dari sumber yang diragui kehalalannya. Waallahuallam.

Jika ditanya kepada mangsa Tsunami yang ditemui, pelbagai kisah-kisah menakjubkan berlaku yang tidak tergambar oleh akal fikiran yang normal. Bagaimana terjadi kepada seorang Cina yang melihat sendiri air laut yang tidak merosakkan bangunan Masjid di hadapan matanya sendiri dan lantas memeluk agama Islam selepas itu. Ianya percaya Tuhan Allah yang menyelamatkan Masjid tersebut.

 baiturrahmandepanMasjid Raya Baiturrahman

Masjid ini turut menerima terjahan air laut yang mengalir deras semasa bencana Tsunami. Bayangkan air laut setinggi 20 meter atau setinggi binaan rumah kedai 2 tingkat mengalir deras pada kelajuan 300km/jam, malah ada yang mendakwa lebih laju dari itu melanda jalan utama di Banda Aceh.

Semasa Tayangan Slide di Muzium Tsunami Aceh yang merakamkan kejadian Tsunami ketika itu amat memilukan hati saya. Dan dalam tayang slide tersebut menunjukkan Masjid Baiturrahman turut menerima terjahan air laut Tsunami. Sesiapa yang berada di dalam bangunan Masjid Baiturrahman selamat kerana kabarnya air laut tidak sampai memasuki Masjid.

rahmatullahMasjid Rahmattullah

Masjid ini terletak di kawasan kampung tepi pantai dan yang mula-mula menerima terjahan air laut Tsunami.  Hanya masjid ini satu-satunya yang selamat dan kekal berdiri megah sedang di kawasan sekitar kesemuanya telah musnah binasa. Selepas Tsunami, Masjid ini telah dibaiki semula melalui bantuan Kerajaan Turki. Lambang bulan sabit simbol Kerajaan Turki ada terpampang di bangunan Masjid ini.

rahmatullah rosak

Sebenarnya air laut turut memasuki Masjid ini dan memecahkan cermin dan pintu Masjid. Ada bahagian atas di dalam Masjid ini yang sengaja tidak dibaiki sebagai simbol kenangan bahawa Masjid ini juga turut dilanda Tsunami.  Dan di bahagian belakang dalam masjid ini ada diwujudkan Tempat Pamiran Kesan Bencana Tsunami yang menimpa Masjid ini.

Mengikut kata mangsa Tsunami yang kami temui dalam masjid ini, terjahan air Tsunami dari laut dilihat seolah-oleh kepala Ular Tedung Cobra setinggi pokok kelapa datang menuju ke arah pantai lalu menghempas ke kawasan daratan. Daripada 3000 orang penduduk yang tinggal di kampong kini hanya 700 orang sahaja yang terselamat.

baitu rahimMasjid Baiturrahim

Masjid ini juga turut terselamat semasa Tsunami sedangkan lokasinya benar-benar berada di kawasan berhampiran Pantai. Selepas kunjungan kami menaiki Feri ke Pulau Sabang, kami sempat singgah di Masjid ini untuk melakukan solat Jamak.

Solat Berjemaah di Masjid Baiturrahman

Syukur alhamdulillah kami berpeluang solat Jamak Takdim (Maghrib dan Isya’) di Masjid Baiturrahman sehari sebelum kami pulang ke Tanah Air. Menariknya di saf pertama belakang Imam, ada 5 sejadah yang ditandakan sebagai empunya diri yang akan solat di situ. Di belakang Imam ditandakan Imam Ganti, sebelah kanan Imam Ganti ialah Juru teknik Bunyi, di sebelah kanannya lagi ialah Bilal yang mengalunkan Azan. Kedudukan bilal yang mengalunkan azan berada jauh dari Imam kerana Microfonnya diletakkan di suatu sudut dinding hadapan saf pertama.

baiturrahman3

Manakala di sebelah kiri Imam Ganti ialah milik Penceramah Jemputan, manakala di sebelah kirinya pula ialah Qari yang membaca al-Quran. Kelima-lima sejadah ini diberi tanda sebagai isyarat makmum lain jangan mengambil tempat mereka.

20150224_183551

belakang baiturrahmanBahagian belakang Masjid Baiturrahman

Menariknya selepas bilal mengalunkan Azan, ada penanda waktu Iqamah yang menunjukkan baki masa waktu Iqamah oleh bilal yang bertugas. Maknanya makmum boleh merancang untuk melakukan Solat Sunat dengan melihat baki masa yang tinggal sebelum Iqamah.

Biasanya waktu yang di set sekitar 8 minit  Kemudian angka 8 minit tersebut semakin lama semakin menurun sehingga menghampiri angka 0 minit, maka Bilal akan melaungkan Iqamah sebagai tanda Imam akan memulakan Solat Fardhu Berjemaah.

masjid agung makmurMasjid Agung Al-Makmur

Solat Subuh di Masjid Agung Makmur

Masjid ini dibina dengan bantuan Kerajaan Oman. Bahagian dalam masjid ini sungguh cantik dan indah sekali. Di bahagian hadapan dalam Masjid ini penuh dengan ukiran tulisan khat nama-nama Allah dan ayat-ayat suci al-Quran.

agung khat2

Kehadiran jemaah begitu ramai sekali. Pada pagi Minggu, saya saksikan tidak kurang 10 saf jemaah lelaki di mana satu saf dianggarkan seramai 60 jemaah. Maknanya kira-kira 600 jemaah lelaki yang Solat berjemaah di masjid ini. Ditambah dengan jemaah Muslimah yang hadir, mungkin ada 1000 jemaah yang bersolat Subuh di Masjid ini. Allahuakbar.

makmur3

Bacaan Imam semasa Solat amat merdu dan mengasyikkan. Peluang Solat Subuh di Masjid ini,  dengan mendapat Imam Bertugas yang berlainan amat mengujakan sekali. Imam yang bertugas saya agak berumur sekitar 30 dan 40 an dan masing-masing mempunyai baca Quran yang baik dan sedap didengar. Terasa pula seperti berada di dalam Masjidil Haram dek kemerduan suara bacaan Imam.

Ketika keluar pulang ke hotel penginapan, saya melihat banyaknya kereta dan motorsikal yang diparkir di kawasan luar Masjid. MasyaAllah ! Tsunami meninggalkan kesan yang positif kepada masyarakat setempat supaya dekat dengan Allah.

makmur 4

Solat Subuh di Masjid ini tidak ada Doa Qunut. Dan setiap kali selesai Solat, Imam akan duduk berhadapan mengadap Makmum dan membaca doa dan wirid secara perlahan dan tidak menggunakan Microphone. Begitu juga dengan para makmum yang kekal duduk dengan membaca wirid selepas solat secara perlahan dan sendiri. Dan bagi Makmum Masbuq yang masih belum selesai Solat pastinya merasa aman meneruskan solat mereka.

Saya pernah mendengar ceramah seorang Ustaz yang menyatakan bahawa cara beginilah yang mengikut Sunnah. Iaitu bacaan wirid selepas solat tidak perlu dibaca kuat supaya jemaah Masbuq yang masih meneruskan Solat tidak merasa terganggu. Membaca wirid selepas Solat adalah sunat, tetapi mengganggu jemaah yang sedang solat dengan bacaan wirid yang kuat boleh menyebabkan hukumnya Haram. Tiba-tiba saya berkata dalam hati, alangkah indahnya jika keadaan sedemikian berlaku di masjid atau surau tempat kita.

(bersambung)