Assalamualaikum wbt. dan selamat bertemu kembali.

Sudah lama tidak menulis membuatkan saya kaku seketika. Tak tahu apa nak cerita..buntu sedalam-dalamnya. Baru dapat semangat kembali bila Cikgu Norlia Ashari memberikan peransang dalam Facebook saya (cikgu masa sekolah menengah dahulu). Cerita tentang Umrah dan pengalaman mengembara dah acap kali diutarakan. Kali ini saya cuba menulis mengenai motivasi dalam diri, walaupun sedar saya ni bukanlah seorang Pakar Motivasi. Mudah-mudahan apa yang ditulis ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca dan boleh menjadi pencen kubur saya nanti.

sad2

Pengenalan

Kebahagiaan hidup sememangnya menjadi impian setiap insan. Siapa yang tidak mahu hidupnya bahagia ? Orang kurang siuman juga sering dilihat bahagia dengan hidupnya sendiri. Kerana itu kita sering melihat mereka tersenyum dan ketawa seorang diri. Hidup kita bagaimana ?

Kita sering mendengar keluhan rakan yang merungut mengenang nasibnya sendiri. “Sampai bila aku nak jadi begini ” bila la nasib aku nak berubah? Yang makan gaji sentiasa mengeluh mengenai wang perbelanjaan yang tidak pernah cukup ? Yang meniaga pula mengeluh akan perniagaannya yang kurang memberansangkan.

Si ayah merungut mengenai sikap anak-anak yang tidak memenuhi piawainya. Si ibu mengeluh dengan anak-anak yang tidak mahu membantu. Semakin besar anak-anak semakin terasa bebanan tanggungjawab. Hinggakan saya sering mendengar jemaah bercerita semakin tua hidupnya semakin sedikit doa untuknya tetapi semakin banyak doa untuk anak-anaknya yang dah kahwin serta cucu-cucunya.

Si anak pula sering merungut kerana selalu jadi mangsa marah dan leteran ayah dan ibu. Mereka ni nak aku jadi macam depa ke? Sikap ayah dan ibu yang sering membandingkan dirinya dengan adik beradik yang lain menyebabkan diri sentiasa rasa “stress”

Sang majikan pula sering merungut mengenai prestasi pekerja bawahan yang tak “perform”. Manakala pekerja pula merasakan majikan tak berhati perut..selagi boleh dikerah tenaganya akan disuruh buat macam-macam.

Kesemua contoh yang saya sebutkan di atas menggambarkan hati insan yang berkeluh kesah, berdukacita dan ada yang sampai ke peringkat “stress” dan bermasalah. Mereka sering melihat orang-orang di sekeling mereka seolah memberi masalah kepada dirinya. Mereka hidup dalam suasana tidak ceria, cemas dan takut akan bayangan masa hadapan. Yang lebih parah apabila ada yang menerima rawatan kemurungan sehingga mengambil Pil bagi menghilangkan “stress”.

Lalu bagaimana kesudahannya ?

Antara faktor yang menyebabkan hati kita merasa sedih, gelisah, berdukacita dan tidak ceria kerana hati kita yang kotor.

Hati kotor ?

Orang yang melakukan maksiat, hatinya akan menjadi kotor. Semakin banyak dan kerap maksiat yang dilakukan semakin kotor hatinya. Nabi Muhammad saw memberitahu “apabila anak Adam melakukan satu maksiat maka akan timbul satu titik hitam di hatinya. Dan apabila semakin kerap maksiat yang dilakukan akan semakin banyak titik hitam dalam hati dan akhirnya hatinya menjadi gelap dan cahaya iman sukar menembusi hatinya”.

Salah tanggapan mengenai Maksiat ?

Kekadang ada di kalangan kita menganggap tingkah laku maksiat itu berlaku apabila ianya melibatkan 2 pasangan yang berlainan jantina. Jadi yang tidak “couple” ni merasa ianya tidak melakukan maksiat dan tidak berdosa. Tetapi hakikatnya mereka lupa bahawasanya tidak mengerjakan perintah Allah itu juga satu tingkah laku maksiat.

Kita lihat sekarang ini semakin ramai generasi kita yang tidak menjaga solat 5 waktu. Satu waktu solat ditinggalkan hati sudah menjadi kotor. Jika selalu solat ditinggalkan maknanya tambah kotor hatinya ? Jika tak solat langsung ? Makin jadi kotor sekotornya. Kerana itu apabila hati sudah menjadi kotor dan gelap ia langsung tidak merasa bersalah atas maksiat yang dilakukan. Tidak ada rasa sesal apabila ia sudah berbuat maksiat. Malah merasa bangga pula dengan dosa yang dilakukan.

Tanyalah mereka yang hidup bergelombang dengan dosa dan maksiat, adakah jiwa mereka tenang dan bahagia ? Alangkah ruginya nasib diri ketika hati kotor bergelombang dengan dosa nyawa dicabut dari badan ? Bagaimana nasib kesudahannya nanti ? Malang sekali hidup mereka, tidak bahagia di dunia dan di akhirat apatah lagi.

Hakikat Kebahagiaan ?

Hakikat kebahagiaan sebenarnya ada dalam hati kita. Bukannya di luar. Tak payah pergi jauh untuk mencari kebahagiaan. Kita akan merasa bahagia apabila hati kita ini betul-betul dekat dengan Allah. Tak kira di mana dan pada bila-bila masa hati ini ingat akan Allah. Bila hati sentiasa ingat akan Allah, kita akan takut untuk berbuat maksiat.

Kebahagiaan terletak pada hati yang bersih. Bagaimana mahu sucikan hati ? Sebenarnya hati yang suci bersih hanya akan diperolehi apabila kita tahu menggunakan seluruh anggota tubuh badan kita ini kearah mengingati Allah. Apabila hati sentiasa ingat Allah, maka lidah akan sentiasa berzikir dan bertasbih memuji kebesaran Allah. Tak kira ketika dan di mana?

Ketika kita sedang berjalan kaki, atau sedang memandu kereta ke destinasi tujuan, atau sedang bersendirian menunggu seseorang, atau ketika sedang memasak atau jogging sekali pun lidah kita sentiasa memuji kebesaran Allah dengan ucapan Laiila haillallah, subhanAllah, alhamdulillah, Allahukbar dan istighfar. Satu ucapan yang ringkas dan pendek tetapi jarang kita amalkan. Lazimnya kita hanya beristighfar dan berzikir ketika berada di dalam masjid sahaja. Walhal di mana-mana pun boleh.

Kemudiaan anggota badan kita pula kita gerakkan kearah mengingati Allah. Kaki berjalan ke tempat wudhu’, mengambil wudhu’ dan kemudiannya lakukan solat bila tiba waktunya. Tangan diangkat bertakbiratul ihram dan digerakkan semua anggota badan kearah mengingati Allah.

Ketahuilah apabila semua pancaindera dan anggota badan kita ini aktif berfungsi kearah mengingati Allah maka jiwa kita akan tenang tenteram.

Lakukan Qiamulail 

Qiamulail atau Solat Malam adalah tonik terbaik merawat rasa duka dan “stress”. Bangunlah di sepertiga malam, lakukan solat serta bermunajat kepada Allah. Salah satu amalan yang Nabi kita Muhammad saw sering lakukan ialah Solat Malam. Boleh dikatakan setiap malam Nabi saw melakukan Solat Malam sedangkan dirinya dijamin masuk syurga Allah.

sujud

Allah amat suka kepada hambaNya yang bangun di tengah malam melakukan solat malam dan bermunajat memohon keampunan dan rahmat dari Allah. Adukan kepada Allah atas segala masalah yang kita hadapi. Allah yang mentadbir hidup kita maka kepada Allah sahajalah kita mengadu dan memohon pertolongan.

Saya teringat satu Perumpamaan mudah, “jika kita takut melalui satu jalan di mana di kawasan itu ada seekor anjing yang garang, maka jalan penyelesaiannya ialah dengan berjumpa dengan Tuan Punya anjing berkenaan dan meminta kepada Tuan Punya anjing supaya menjauhkan anjing tersebut dari kita”.

Begitu juga jika kita ada masalah dengan makhluk yang bernama manusia, maka jalan penyelesaiannya ialah dengan mengadu terus kepada Tuan Punya makhluk tadi. Siapa lagi jika bukan Allah ? Mengadulah kepada Allah yang mentadbir hati manusia supaya Allah ubah hati makhluk berkenaan supaya menjadi bertambah baik.

Dari kita mengadu domba menceritakan aib orang lain disebabkan tekanan “stress” yang melanda jiwa, maka ada baiknya kita mengadu terus kepada Allah di tengah malam yang sepi. Di ketika manusia lain sedang nyenyak tidur, kita bangun lakukan Solat Tahajud dan berdoa kepada Allah agar Allah memberi jalan keluar atas setiap masalah yang kita hadapi.

Mula lakukan Qiamulail dari sekarang. Jangan tunggu masa tua dan pencen baru nak lakukan. Jadikan ianya amalan rutin yang dilakukan setiap malam. Saya percaya sesuatu perkara yang kita sering lakukan dari sekarang, lama kelamaan ianya akan menjadi satu kebiasaan. Dan mudah-mudahan amalan yang jadi kebiasaan ini akan terus kita lakukan sehingga nyawa berpisah dari badan. Allahuakbar.

Untungnya berjiwa tenang

Kerana itu orang yang sentiasa beramal dengan melakukan amalan kebajikan yang mengundang pahala dan menjauhi larangan Allah, keadaan hidupnya akan jadi bahagia dan tenang. Jika menerima kabar baik akan rasa syukur di dalam hatinya dan jika menerima kabar duka tetap memuji kepada Allah dan tidak menyalahkan takdir. Lidahnya sentiasa memuji kebesaran Allah.

Contohi sifat sabar Nabi Ayub

Kita baca dalam sejarah Nabi-nabi bagaimana Nabi Ayub diuji oleh Allah berupa kehilangan harta benda, kehilangan anak pinak, penyakit yang dihidapinya menyebabkan ia dipulau oleh masyarakat sehingga isterinya sendiri cuba untuk menjauhkan diri darinya. Sehinggakan Nabi saw berpesan “sesiapa yang mahu mencontohi sifat sabar, contohilah sabarnya Nabi Ayub”. Semua ujian yang dilalui oleh Nabi Ayub ditempuh dengan sabar. Lidahnya sentiasa memuji kebesaran Allah dan tidak sedikit di hatinya rasa menyalahkan Allah. Begitu tebalnya keimanan Nabi Ayub hingga ia diberi nikmat yang tidak terhingga oleh Allah selepas itu.

Kerana itu janganlah berduka cita andai merasa hidup miskin. Kebahagiaan itu bukan terletak kepada hidup mewah dan kaya raya. Ramai orang kaya dan mewah hidupnya tidak tenteram sehingga ada yang sampai membunuh diri. Ada banyak duit pun belum tentu dapat membeli nikmat kesihatan. Duit yang banyak juga tidak dapat membeli kegembiraan.

Perasaan semasa di Tanah Suci ?

Kegembiraan dan kebahagiaan itu apabila hati kita bersih dan rasa dekat dengan Allah. Tanyalah kepada mereka yang pernah menunaikan Haji atau Umrah ? Apa perasaan mereka ketika berada di Tanah Suci.

Pasti mereka akan jawab kepada kita bahawasanya hatinya merasa aman dan tenteram ketika berada di Tanah Suci. Rasa bahagia sangat apabila dapat menyempurnakan Tawaf dan Saie serta bertahalul. Rasa bahagia sangat apabila dapat selesai menyempurnakan lontaran Jamrah di Mina. Tambah lagi rasa bahagia apabila ibadah Haji sudah selesai dilaksanakan.

Kesemua perasaan bahagia itu dirasakan kerana ketika di Tanah Suci, hati kita sentiasa melakukan amal perbuatan yang membesarkan keagungan Allah. Ketika mata mula melihat Kaabah terus lidah menyebut “Allahuakbar” berkali-kali. Betapa sayangnya Allah kepada kita sehingga menjemput kita menjadi TetamuNya.

Ketika sedang bertawaf, ketika sedang bersai, ketika solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, ketika membaca al-Quran di dalam masjid, ketika berdoa di Multazam atau dalam Hijir Ismail atau dalam Raudhah di Masjid Nabawi Madinah atau ketika apa sahaja yang sedang kita lakukan di dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, kita dapat rasanya betapa bahagianya diri kita ini. Kita akan rasakan satu perasaan yang sukar kita ungkapkan dengan kata-katanya.

Beruntunglah kepada mereka yang amalannya diterima oleh Allah semasa di Tanah Suci. Teringat pesan arwah bapa saya Ustaz Safwan Fathy, antara satu tanda amalan kita ini diterima oleh Allah ialah apabila kita mendapati hidup kita ini menjadi semakin baik dan bertambah baik dari masa ke semasa. Jika dulunya culas dalam solat tetapi sekembali dari Tanah Suci ia menjaga solatnya dengan baik dan tidak tertinggal lagi. Malah amalan solat berjemaah semakin rajin dilakukan.

Sangka baik kepada Allah

Kekadang kita tidak sedar akan hikmah mengapa doa kita tidak dikabulkan oleh Allah. Bersangka baik lah dengan Allah. Sesungguhnya kita tidak mengetahui boleh jadi apa yang baik pada pandangan kita sebenarnya tidak baik pada pandangan Allah, maka Allah tidak kabulkan doa kita. Dan percayalah bahawasanya Allah tidak pernah salah alamat dalam memberi rezeki kepada hambaNya. Kita sahaja yang jauh dariNya.

Boleh jadi Allah mahu meningkatkan maqam kita di sisiNya. Diuji kita dengan sedikit ujian supaya timbul rasa insaf sehingga menyebabkan kita mula beramal dan mengadu kepada Allah. Manusia ni mudah lalai dan lupa. Apabila diuji dengan nikmat kesenangan mudah lupa kepada Allah tetapi apabila diuji dengan kesusahan akan mudah mengingati Allah semula.

Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang sentiasa mengingati Allah tidak kira di mana kita berada. Kerana kebahagiaan hakiki itu ialah apabila dapat memasuki syurga Allah.

“Wahai jiwa yang tenang tenteram, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai maka masuklah dalam golongan hamba-hambaku dan masuklah ke dalam syurga. ” Surah al-Fajr ayat 27-30.

Amin Ya Rabbal Alamin.