169265_461489850530246_2087880355_oAssalamualaikum wbt.

Kualiti perkhidmatan sesuatu Pakej Umrah bergantung kepada beberapa faktor. Sebelum ini saya banyak menyentuh mengenai faktor pemilihan jenis kapalterbang yang mengikut sektor yang digemari seperti Kuala Lumpur terus ke Madinah atau masuk Makkah dahulu dan balik dari Madinah. Begitu juga dengan pemilihan hotel yang dekat dengan masjid dan juga standard atau kualiti hotel yang memberi keselesaan kepada jemaah. Kedua-dua faktor di atas begitu memainkan peranan dalam penentuan harga sesuatu Pakej Umrah. Jika nak Pakej Umrah Harga Rendah sudah pasti flight yang dipilih jenis transit dan juga standard hotel dan jarak hotel dengan masjid akan menghampakan jemaah.

Satu lagi aspek yang penting dalam menilai sesuatu Pakej Umrah ialah bimbingan yang diberikan, samada sebelum berangkat atau semasa di tanah suci. Ramai jemaah yang lebih suka mengikut Pakej yang dianjurkan oleh seorang Ustaz yang diminati berbanding mengikut agensi yang sedia ada. Ini kerana ramai jemaah mengharapkan Ustaz yang diikuti boleh membimbing mereka semasa berada di tanah suci. Tetapi benarkan begitu ?

Kerana itu senario yang berlaku sekarang ini, banyak agensi yang cuba memancing Ustaz-ustaz yang popular dan dijangka boleh mendatangkan jemaah yang ramai agar bernaung di bawah agensi mereka. Sebagai contoh, jika seorang Ustaz A memaklumkan kepada jemaah bahawa ia akan menunaikan Umrah bersama Agensi Travel AA misalnya, maka akan ramailah jemaah yang akan mengikut Ustaz A tadi. Maka bertambah ramailah jemaah yang akan mendaftar dengan Travel AA. Mereka mendaftar disebabkan Ustaz A tadi bernaung di bawah Travel AA. Seandainya Ustaz A tadi berpindah dengan bernaung di bawah Travel BB pula misalnya, maka Travel BB pula yang akan bertambah ramai jemaahnya. Syukur alhamdulillah, begitu besar pengaruh seseorang Ustaz dalam menarik jemaah ikut bersama dengannya. Berkat ilmu agama yang diamalkan, Allah naikkannya ke satu darjat yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat.

Dalam pada itu, ada juga terdengar rungutan dari jemaah yang mendakwa ada agensi travel yang menipu dalam Iklan Umrah mereka. Dalam Iklan Umrah ditonjolkan Ustaz berkenaan akan turut serta dalam rombongan Umrah yang berkenaan. Walhal hakikat yang sebenarnya Ustaz berkenaan hanyalah digunakan sebagai umpan bagi menarik ramai jemaah mendaftar dengan agensi yang berkenaan. Masa kursus Umrah sahaja Ustaz berkenaan ada tetapi semasa berangkat ke tanah suci Ustaz berkenaan tiada. Lebih malang lagi apabila seorang jemaah yang sudah berpengalaman menunaikan Umrah diambil sebagai Ketua Rombongan dan bukannya Petugas Syarikat yang pergi.

Ada juga rungutan dari jemaah yang menyatakan mereka tidak dibimbing semasa kali pertama menunaikan Umrah. Pandai-pandai sendiri. Untung ada jemaah yang sudah pernah menunaikan Umrah sebelum ini. Maka jemaah-jemaah yang pertama kali mengikut sahaja jemaah yang berpengalaman tadi. Kesiannya. Malah yang lebih malang lagi ialah tiada Kursus Umrah yang diberikan sebelum berangkat ke tanah suci.

Ada juga rungutan dari jemaah yang merasa tertipu kerana mereka mendaftar dengan Travel A tetapi semasa di airport lagi mereka sudah diserah kepada Travel B pula untuk membawa jemaah yang berkenaan. Keadaan ini biasa berlaku apabila jemaah yang mendaftar dengan Travel agensi berkenaan amat sedikit sekali. Maka jalan mudah ialah serahkan jemaah mereka kepada Travel lain yang berangkat pada tarikh yang berkenaan. Jadilah jemaah tadi jemaah angkat kepada Travel yang satu lagi, Yang kesiannya apabila berlaku masalah di tanah suci jemaah berkenaan tidak boleh komplen kerana mereka hanya menumpang sahaja.

Dari sudut bimbingan di tanah suci, saya amat tertarik dengan cara jemaah dari negara-negara Arab seperti Turki atau Iran mengendalikan jemaah mereka. Mereka memakai satu pakaian sut yang sama dan ketua mereka kerap membawa jemaah-jemaah mereka melakukan Tawaf Sunat secara berkumpulan. Samada ketika waktu selepas Subuh ataupun selepas Asar kita boleh lihat sekumpulan jemaah yang ramai (biasanya lebih dari 40 orang) samada dari Turki atau Iran tiba-tiba akan menyelusup masuk di kawasan Dataran Kaabah untuk memulakan Tawaf Sunat mereka secara berkumpulan. Biasanya Ketua mereka akan berada di tengah-tengah kumpulan mereka memimpin jemaah melakukan Tawaf. Saya lihat kumpulan jemaah dari Indonesia juga sudah ada yang melakukan perkara yang sama.

Saya tidak pasti samada melakukan Tawaf Sunat dengan bersuara nyaring itu dibolehkan atau tidak, Ada Ustaz yang menyatakan bacaan yang nyaring boleh mengganggu jemaah lain yang sedang tawaf. Tetapi secara peribadi saya amat tertarik dengan kesungguhan jemaah-jemaah dari negara-negara berkenaan melakukan amalan sunat ini dalam satu kumpulan yang ramai. Nampak begitu bersatunya mereka dalam melaksanakan ibadah. Manakala jemaah dari negara kita lebih banyak yang melakukannya secara bersendirian.

Bagi Ajwa Travel, mengikut perancangan insyaAllah akan melakukan hal yang sedemikian untuk musim Umrah yang akan datang. Dan saya juga merancang untuk mengadakan Solat Malam di tingkat Atas Masjidil Haram dengan dipimpin oleh seorang Ustaz Muda yang hafiz yang turut sama dalam rombongan Umrah Februari nanti. Harapan saya semoga jemaah yang bersama-sama Ajwa Travel bukan sahaja mendapat flight yang baik, hotel yang dekat dengan Masjid tetapi mendapat bimbingan yang sempurna semasa di tanah suci. Semoga datang ke tanah suci dalam keadaan gembira dan pulang dengan mendapat Umrah yang Makbul dan diterima oleh Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.

Wassalam.