Assalamualaikum wbt. dan bertemu kembali.

Diam tak diam, sudah 5 tahun blog saya ini berada di alam siber. Blog yang awalnya diwujudkan untuk mempromosi Pakej Umrah Idaman yang saya anjurkan. Blog yang bertujuan untuk memberi maklumat yang berguna kepada bakal-bakal Tetamu Allah sebelum membuat keputusan untuk menunaikan Umrah dan juga Haji. Di samping itu blog ini juga bertujuan memberi ilmu dan media dakwah saya kepada masyarakat.

Saya ingat Hadis Nabi yang bermaksud “orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.” Dan saya berdoa dengan sedikit usaha ini moga-moga dapat memberi kebaikan kepada sesiapa sahaja yang membaca dan boleh menjadi Pencen Kubur untuk saya.

Sungguhpun tujuan asal blog ini ialah untuk mempromosikan Pakej Umrah Idaman yang dianjurkan oleh Ajwa Travel (syarikat milik saya sendiri) tetapi asyik cerita Umrah sahaja boleh jadi akan membosankan. Jadi saya bercadang selepas ini, saya akan menulis hal-hal yang selain dari Umrah.

Mungkin selepas ini, saya akan sentuh hal-hal yang bersangkutan dengan Kekeluargaan, Hubungan Kasih Sayang sesama Manusia, hubungan kita dengan Allah, motivasi diri dan apa sahaja isu yang terlintas di fikiran. Yang penting apa yang bakal saya kongsi dapat memberi ilmu dan bermanfaat kepada Pembaca.

Earth_and_moon

Hubungan Kita dengan Allah

Bumi ini sudah ada sebelum manusia dijadikan oleh Allah. Syurga juga sudah ada sebelum kita ada. Syurga dicipta oleh Allah untuk manusia mendiaminya. Hakikatnya tempat asal manusia ialah di syurga. Ketika Allah jadikan Adam sebagai makhluk manusia yang pertama, tempat kediamannya di dalam syurga. Kerana memakan buah larangan maka ia bersama Hawa dikeluarkan dari Syurga dan tinggal di bumi ini.

Sebelum Nabi Adam menghuni bumi ini sudah ada makhluk di dalamnya. Maknanya manusia ini hanya menumpang sahaja di bumi Allah ini. Apabila dikatakan hanya menumpang maka sifatnya berbentuk sementara dan tidak kekal. Oleh kerana ianya bersifat sementara dan tidak kekal maka untuk apa kita “all out” mengejar dunia ? Sedangkan hakikatnya di bumi atau dunia ini bukannya tempat kita ?

Allah menciptakan dunia ini sebagai satu amanah untuk manusia mentadbir dan menjaganya. Segala isi yang ada di dunia ini Allah jadikan supaya ianya dijadikan manfaat kepada manusia. Dijadikan haiwan supaya manusia boleh mendapat manfaat darinya. Dijadikan tumbuh-tumbuhan pun begitu juga..supaya manusia mendapat manfaat darinya.

Tetapi manusia mudah lupa akan nikmat yang Allah berikan di dunia ini. Seolah-olah apabila mencari harta kekayaan, manusia lupa yang ia akan mati suatu hari nanti. Seolah-olah manusia ini akan tinggal lama di dunia ini dan tak mati-mati. Kita lihat sendiri kerakusan manusia mengejar harta kekayaan seolah-olah ia lupa akan alam Kubur dan alam Akhirat yang ia akan tempuh nanti.

Hidup ini amat pendek sebenarnya. Di kala kita sibuk mengejar keduniaan, tiba-tiba Allah cabut nyawa kita tanpa kita bersedia menghadapi kematian. Dan sememangnya pun kita belum bersedia menghadapi kematian. Dan di kala nyawa telah terpisah dari badan, tiada apa-apa bekalan yang kita bawa. Nak menyesal pun dah tiada gunanya.

Harta kekayaan, isteri yang cantik, anak pinak, rumah besar, kereta besar, duit berjuta dalam bank kesemuanya ditinggalkan. Maka masuklah jasad yang telah kaku ke dalam kubur untuk menerima untung nasibnya. Nasib yang bakal ditempuh di alam kubur boleh menjadi gambaran nasibnya di Akhirat kelak.

Kembali ke Syurga ?

Allah telah menurunkan ramai Rasul untuk mendidik jiwa manusia supaya kembali kepada fitrah iaitu kembali untuk masuk ke dalam Syurga Allah. Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul maka ia akan diberi kesudahan yang baik oleh Allah iaitu kembali ke Syurga. Mengapa dikatakan kembali ? Kerana sememangnya asal manusia itu dari Syurga.

Mahukah kita masuk ke dalam Syurga Allah ? Pastinya kita mahu dan tidak ada sesiapa pun yang tidak mahu masuk Syurga. Memang kita tidak tahu akan nasib kita di Akhirat nanti. Tetapi Allah telah ajarkan dan memberitahu melalui perantaraan Rasulnya cara-cara untuk kita kembali memasuki Syurga. Kita selalu berdoa supaya dimasukkan ke dalam Syurga bersama para Rasul dan Nabi-Nabi, para Syuhada dan para Solihin yang lain.

Ertinya untuk memasuki Syurga Allah hendaklah kita beramal Soleh. Kena beramal dan bukan setakat teori sahaja. Rasanya kita semua sedar dan tahu untuk masuk Syurga Allah kena beramal Soleh. Tetapi untuk beramal Soleh tidak semudah yang diucap. Solat yang tak sampai 5 minit pun terasa berat dikerjakan bagi mereka yang rendah imannya.

Kenapa rendah iman ? Kerana ia tidak merasa bahawasanya hidup ini sentiasa dalam pengawasan Allah. Ia tidak rasa ia diperhatikan. Jika kita dapat rasa yang hidup kita ini sentiasa diperhatikan pasti kita tidak akan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Kerana itu ada Ulamak yang menyatakan “apabila ada hamba Allah yang melakukan zina (atau dosa besar yang lain) imannya telah tercabut dari jasadnya.Ketika maksiat dilakukan imannya adalah kosong. Dan amat malang sekiranya ketika iman berada dalam tahap kosong, nyawa dicabut oleh Allah. Di mana kesudahannya nanti ?

Hakikat hidup sebenarnya ialah untuk kita mengabdikan diri kepada Allah. Kerana itu diistilah sebagai Hamba Allah. Hamba yang berserah diri kepada Allah dengan melakukan segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang. Penyerahan diri kita itu keseluruhannya untuk Allah. Segala-gala yang kita lakukan kerana Allah demi mendapatkan redha Allah.

Untuk kembali ke Syurga tidak semudah diucapkan. Harus ada usaha yang bersungguh-sungguh dan bukan usaha sambil lewa. Kita kena bersungguh-sungguh berbuat amal kebajikan secara berterusan atau “istiqamah”. Amal kebaikan bukan setakat melakukan ibadah fardhu sahaja tetapi termasuk ibadah sunat yang lain. Dan ibadah itu sendiri bukan setakat Solat semata tetapi merangkumi segala aspek kehidupan  duniawi.

Apabila segala perbuatan yang kita lakukan kerana Allah, ianya dikira sebagai satu ibadah. Dan apabila ianya dianggap satu ibadah, pastinya akan mendapat ganjaran yang baik dari Allah. Allah akan mudahkan hidup kita lantaran kita selalu memudahkan orang lain. Allah akan membahagiakan diri kita lantaran kita selalu berusaha untuk membahagiakan orang lain. Allah sentiasa akan melimpahkan rezeki yang luas kepada kita lantaran kita selalu berusaha memberi rezeki kepada orang lain.

Ketika itu, kita akan merasa amat bahagia sekali dan tidak akan merasa keluh kesah kerana kita sedar Allah ada sentiasa bersama kita. Kita akan merasa diri kita amat dekat dengan Allah. Kemana pun kita pergi dan apa sahaja yang kita lakukan kita akan merasa Allah ada bersama kita.

Ingatlah semua kejayaan dan kekayaan yang kita nikmati semuanya datang dari Allah. Bukan kerja keras yang menjadi penentu kekayaan seseorang tetapi kesemuanya atas izin Allah jua. Berusahalah sekuat mana pun usaha kita, jika Allah tidak merestuinya pasti tidak menjadi. Mungkin ia akan dapat merasai kekayaan tetapi kekayaan dan kejayaan dunia yang ia capai akan menjadikan diri dia hanyut dan lupa kepada Allah.

Manusia itu akan mula merasa sombong dan takbur atas apa yang ia nikmati . Apabila manusia sibuk mengejar dunia, Allah akan sibukkan ia sehingga merasa tidak punya masa untuk mengingati Allah dan akhirnya lupa terus kepada Allah. Alangkah celakalah nasib badan apabila ada manusia yang telah lupa akan Allah. Di manakah tempatnya nanti di Akhirat kelak ?

Marilah kita sama-sama berusaha beramal soleh dengan melakukan amal ibadah yang telah diperintahkan dan dianjurkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Bukan setakat melakukan solat fardhu 5 waktu akan tetapi dengan menambahkan amalan-amalan solat sunat yang disyariatkan seperti melakukan Qiamulail, rajin membaca al-Quran dan sebagainya.

doa

Solat Malam sememangnya amat berat. Allah amat menyukai hambaNya yang rajin Solat Tahajud di waktu malam. Allah amat menyukai perbuatan hamba Allah yang bersusah payah mengorbankan masa tidurnya semata-mata untuk bermunajat kepadaNya, memohon keampunan dan rahmat dariNya. Bangunlah dari tidur pada sepertiga malam dan lakukan Solat Tahajud. dan kita akan merasai kehidupan kita pada keesokkan hari begitu tenang dan mndamaikan jiwa. Tidak ada lagi perasaan keluh kesah yang berserabut di dalam fikiran.

Kita amat seronok apabila balik kampong. Kerana kita merasakan kampong itu tempat asal kita. Maka sepatutnya kita akan lebih bertambah seronok apabila kita dapat pulang ke kampong asal kita iaitu Syurga Allah. Tetapi sudah bersediakah kita untuk mendapat syurga Allah ? Kita akan melalui proses kematian terlebih dahulu. Bersediakah kita untuk menghadapi kematian ?

Sesungguhnya kita ini amat beruntung kerana menerima Islam dan Iman dari keturunan. Lahir sahaja sudah Islam. Tetapi sedarkah kita Islam yang datang kepada kita hasil dari perjuangan dan pengorbanan jiwa raga para Sahabat. Berapa ramai para Sahabat yang telah gugur Syahid demi menegakkan agama Allah ? Sesungguhnya Syurga untuk mereka yang telah Syahid demi agama Allah.

Nasib kita bagaimana ? Yang hanya menerima Islam secara percuma. Marilah kita sama-sama berusaha menjaga iman kita ini sehingga ke hujung nyawa. Allah tidak melihat di mana kita bermula, tetapi Allah melihat di mana kesudahan akhir kita di dunia ini.

” Ya Allah, Engkau hidupkanlah aku, kedua ibubapaku dan mertuaku, isteriku, anak-anakku dan zuriat keturunanku dalam iman, dan Engkau matikan diriku, kedua-dua ibubapaku dan mertuaku, isteriku, anak-anakku dan zuriat keturunan ku dalam iman”

Kerana hanya dengan iman kepada Allah sahajalah yang dapat menyelamatkan kita di Akhirat kelak. Mudah-mudahan kita semua dapat kembali ke tempat asal kita iaitu Syurga Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.

Jumpa lagi dan wassalam.