Assalamualaikum wbt. dan bertemu kembali.

Haji kelana jaya

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah dan syabas kepada mereka yang telah Terpilih untuk menunaikan Haji pada musim 1436H. Bermula pada 18 Ogos 2015 yang lalu, Tabung Haji mula menghantar jemaah Haji Malaysia menerusi Penerbangan KT1 dan seterusnya. Sempena bermula musim Hahi tahun ini tergerak hati saya untuk berkongsi pengalaman atau memberikan beberapa Tip kepada bakal-bakal Tetamu Allah. Niat saya ialah mudah-mudahan ianya dapat membantu Jemaah Haji ke arah mendapatkan Haji Mabrur.

Saya masih ingat ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Hj Samsudin Sidek, Guru Agama Jemaah Haji Zahafiz  semasa saya bertugas Haji dahulu, katanya Perjalanan Haji ialah Perjalanan Kerohanian.  Sememangnya anggota fizikal kita yang bergerak semasa menunaikan Haji. Bergerak dari satu Fasa ke satu Fasa Haji (rujuk entry saya mengenai Fasa Haji), tetapi hakikatnya Perjalanan Kerohanian kita turut sama bergerak.

Harus diingat, tidak kira jemaah Haji lelaki dan wanita, tua mahupun yang muda, kesemuannya akan melalui proses Perjalanan Haji yang sama dari awal sehingga akhir. Sebagai Tetamu Allah, jemaah akan dilayan mengikut cara mana Allah meraikannya. Bagi yang dekat dengan Allah, setiap kejadian yang berlaku di sepanjang kerja Haji akan diraikan dengan tenang dan penuh redha. Hati dan perasaannya atau rohaninya tertumpu sepenuhnya kepada Allah dan menganggap segala sesuatu yang terjadi ke atas dirinya sebenarnya sudah ditentukan oleh Allah dan kita wajib redha keatasnya.

Berbeza dengan jemaah yang datang dalam keadaan hatinya yang kotor, iman dan ilmu agama yang tipis maka setiap kejadian yang menimpa dirinya dianggap menyusahkan. Lanjutan dari itu hatinya selalu merungut dan menyalahkan orang lain atas nasib yang meninpa dirinya. Tidak tergambar setiap sesuatu yang terjadi keatas dirinya merupakan ujian dari Allah.

Bermula dari Fasa 1 iaitu Fasa Keberangkatan Jemaah Haji iaitu dari Proses pendaftaran Haji di Kelana Jaya, dibawa dengan bas Eksklusif ke KLIA sambil diiringi dengan Polis Trafik (terasa macam VVIP pula), semasa di dalam flight menuju ke Arab Saudi, kemudian melalui proses Imigresen dan pengambilan bagasi di Terminal Haji yang amat lama dan meletihkan sehinggalah menjalani ibadah di Madinah (bagi Penerbangan Awal)

Tip 1 – Petik butang “Sabar”

Di dalam setiap pergerakan di atas, sekiranya kita tidak set dari awal supaya memetik “butang SABAR” yang ada dalam diri kita bermula ketika keluar melangkah dari rumah lagi, maka setiap ujian atau kejadian yang menimpa kita semasa melalui setiap proses pergerakan Fasa 1 dan Fasa seterusnya akan dirasakan payah dan menyukarkan. Langsung tiada dalam hati bahawasanya segala yang berlaku mengandungi hikmah tersembunyi di sebaliknya.

Kekadang masalah kecil pun jadi isu yang besar sehingga menjadi gangguan dalam ibadahnya di Tanah Suci. Teringat seorang jemaah Haji yang merungut menyalahkan Petugas kerana ia mendapat “seat dalam flight” paling belakang sekali sedangkan dia di antara yang paling awal mendaftar di Kelana Jaya.

Semasa sampai di Terminal Haji Jeddah, biasa jemaah merungut mengenai kelewatan proses Imigresen sehingga lambat untuk jemaah keluar dari bangunan Terminal. Ketika musim Haji, pernah terjadi dan mungkin ianya dianggap biasa apabila proses jemaah keluar dari bangunan Terminah Haji semenjak turun dari kapalterbang mengambil masa yang amat lama sehingga lebih dari 6 jam.

Peringatan

Jemaah Haji dinasihatkan membawa stok makanan yang cukup bagi mengalas perut sekiranya masalah proses keluar dari bangunan Terminal Haji Jeddah mengambil masa yang amat lama. Jemaah Haji boleh hilang sifat sabar dalam diri apabila berlaku 3 keadaan atas dirinya. Pertama ia letih atau sakit, kedua perut lapar dan yang ketiga tidak mendapat maklumat yang betul atau “silap faham”.

Apabila berada dalam salah satu dari 3 keadaan tadi, jemaah Haji hendaklah banyak beristighfar kepada Allah. Mudah-mudahan dengan membanyakkan Istighfar hati menjadi tenang dan berjaya menepis hasutan Iblis dan Syaitan.

Ingatlah bahawasanya Iblis dan Syaitan sentiasa berusaha merosakkan Kerja Haji Jemaah dengan bisikan-bisikan halus bagi menimbulkan kemarahan di hati Jemaah. Kerana apabila jemaah Haji mula berkeadaan marah maka akan hilang pertimbangan akal dan budi sehingga tergamak bertindak di luar batas kemanusiaan.

Teringat peristiwa suatu ketika dahulu apabila jemaah Haji bertumbuk kerana merebutkan tempat dalam Khemah di Mina.

Tip 2 – Haji kerana Allah

Niatkan dalam hati sesungguhnya aku menunaikan Haji ini kerana Allah. Bukan dengan niat untuk mendapat gelaran atau ‘title” Haji supaya dipandang mulia oleh masyarakat. Jika awal-awal lagi sudah ada niat sebegitu sememangnya amat kesian kepada mereka yang berkenaan. Ibadah Haji yang dilakukan dengan niat kerana makhluk (seperti mengharapkan pujian) pasti akan sia-sia sahaja.

Kita datang ke Tanah Suci untuk mendapatkan Haji yang Mabrur. Sesungguhnya Haji yang Mabrur (Haji yang diterima Allah) tiada balasan lain kecuali Syurga. Kita berazam semasa di Tanah Suci akan melakukan ibadah dengan terbaik dan sesempurna mungkin. Hati dan jiwa kita fokus untuk melakukan ibadah yang terbaik untuk Allah. Masa yang ada digunakan sepenuhnya kearah mengingati Allah.

Berjalan kaki ke Masjid sambil berzikir dan menyebut nama Allah. Berikhtikaf dalam Masjid sambil melakukan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran dan berzikir (selain amalan fadhu). Begitu juga semasa di bilik penginapan hatinya sentiasa ingat akan Allah.

Begitu juga dengan hubungan sesama jemaah dijaga dengan sebaik mungkin. Elakkan sama sekali dari terjadinya perselisihan atau rasa kecil hati dengan jemaah terutama pada perkara yang dianggap kecil dan remeh.

Tip 3 – Smart Ibadah

Semasa di Tanah Suci sememangnya jemaah amat teruja untuk melakukan amalan-amalan yang sunat sehingga terlupa prioriti dalam kerja Haji. Jemaah Haji kena tahu membezakan di antara keutamaan dengan ganjaran pahala dalam ibadah.

Biasa berlaku jemaah cuba sedaya upaya untuk Solat di Masjid bagi mengejar ganjaran pahala 100 ribu sedangkan keadaan kesihatan dan ketahanan fizikalnya semakin merosot. Ada juga jemaah yang ghairah melakukan Umrah sebanyak mungkin sehingga menjejaskan tahap kesihatan dan ketahanan fizikalnya. Sehingga ketika tiba Hari Wukuf, jemaah berkenaan demam dan dimasukkan ke Wad Hospital Tabung Haji.

Harus diingat, Hari Wukuf di Arafah ialah hari yang ditunggu-tunggu oleh jemaah Haji yang mungkin seumur hidup sekali,  Badan kita harus cergas dan kesihatan kita juga dalam keadaan baik kerana kerja Haji yang bermula dari 8 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijah dan sekembali dari Mina menuntut kekuatan fizikal dan juga rohani yang kuat.

Jika keadaan badan yang lemah, bagaimana jemaah boleh berjalan kaki berulang alik dari Khemah di Muassim ke Jamrah yang sejauh 6 km pergi dan balik ? Bukan pada 10 Zulhijjah sahaja tetapi pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Dan kemudiannya sekembali ke Makkah, jemaah akan melakukan Tawaf dan Saie Haji pula ! Sesungguhnya kerja Haji ini menuntut kekuatan fizikal dan rohani Jemaah Haji.

Pentingnya menjaga Hari Wukuf

Yang dikira Hari Wukuf ialah bermulanya gelincir matahari atau masuk waktu Zuhur 9 Zulhijjah. Ketika Hari Wukuf dari masuk Zuhur sehingga tenggelam matahari adalah saat Makbul Doa dan jemaah Haji harus memanfaatkan tempoh masa yang berkenaan.

Ketika di Arafah ada jemaah ghairah beribadah dengan berjaga malam untuk melakukan Qiamulail sehingga menjelang Subuh dan apabila telah masuk waktu Zuhur keesokkannya (mula waktu Wukuf), keadaan badannya telah menjadi letih dan mengantuk sehingga tertidur. Amat sayang sekali sekiranya jemaah Haji tidak memanfaatkan tempoh masa yang berkenaan.

Sebaiknya jemaah Haji dapatkan rehat yang cukup ketika berada di bumi Arafah. Ini kerana bermula waktu Zuhur 9 Zulhijjah sehingga seterusnya jemaah Haji harus cukup tenaga untuk meraikan Hari Wukuf dan seterusnya bergerak dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina. Dan sesampai di Mina jemaah Haji akan bermalam dan membuat Lontaran Jamrah.

Tip 4 – Jaga kesihatan

Nikmati kesihatan hanya akan dihargai apabila kita telah sakit. Kerana itu jemaah sering terlupa akan kepentingan menjaga kesihatan. Apabila tahap kesihatan mula merosot ianya akan menjejaskan tumpuan jemaah untuk beribadah. Tambah sedih dan kesian apabila jemaah yang sakit ini gagal mengawal emosinya di Tanah Suci kerana faktor kesihatannya yang tidak stabil.

Cuaca dan suhu di Tanah Suci berbeza dengan Tanah Air. Di Makkah dan Madinah cuacanya ialah panas kering atau sejuk kering. Tidak seperti di Malaysia yang cuacanya panas dan lembab. Kerana itu jemaah harus bersedia membawa ‘Losyen Pelembab Kulit” bagi mengelakkan kulit dari kering dan gatal-gatal. Dan jika kulit kaki sudah pecah-pecah atau mula merekah ianya amat sakit sekali jika mahu berjalan kaki. Sebaiknya pakai stokin kaki sepanjang waktu semasa di Tanah Suci.

Jemaah Haji juga dinasihatkan tidak kerap mandi seperti di Malaysia bagi mengelakkan demam selsema dan batuk-batuk. Keadaan cuaca yang amat panas ketika ini amat merbahaya bagi jemaah untuk kerap mandi bagi menyejukkan badan. Cuba bayangkan keadaan ekzos kereta atau motor apabila disiram air. Bagaimana pula dengan keadaan badan kita yang panas lalu dicucuri air ?

Jemaah Haji juga dinasihatkan banyak minum air Zamzam kerana badan kita mudah kering air disebabkan faktor cuaca di sana.

Bawa ubat-ubatan dari Malaysia kerana harga ubat-ubatan di sana amat mahal sekali.

Tip 5 – Jiwa Hamba

Kita datang ke Tanah Suci hendaklah dengan jiwa hamba dan bukan Tuan. Kita ini hanyalah Hamba Allah yang kerdil dan punya banyak kekurangan. Siapalah kita yang ingin berlagak sombong kerana merasakan diri hebat serba serbi. Tak kira apa pangkat pun yang kita ada, semasa di hadapan Allah kita dianggap “nothing” andai Allah tak terima ibadah kita. Allah tak terima pengampunan kita. Allah tak terima doa kita.

Sentiasa sematkan dalam diri kita istilah “Siapa Saya” supaya kita menyedari hakikat bahawasanya kita ini tidak mempunyai sebarang keistimewaan. Kita hanya seorang Hamba, yang datang ke Tanah Suci mengharap kasihan belas dari Allah.

Bukannya istilah “aku siapa?” Apabila jemaah mula menggunakan istilah “aku siapa” maka ianya akan menyerlah sikap sombong yang ada dalam diri sehingga merasakan dirinya perlu diberi layanan istimewa. Kekadang kita terdengar ungkapan  “mereka ni tak kenal aku ni siapa, andai mereka tahu tunggulah nasib mereka nanti? Atau menyalahkan orang lain ” Kamu ni tak kenal ke aku ni siapa? Ia mengharapkan orang lain kenal akan dirinya yang serba hebat kerana berpangkat, kaya dan sebagainya.

Kesimpulan

Perjalanan Haji di Tanah Suci ialah Perjalanan Rohani yang panjang. Saya doakan mudah-mudahan dalam Perjalanan Haji ini jemaah Haji dapat mengawal emosi dan tingkah lakunya, menjaga niat mengerjakan Hati semata-mata mengharapkan redha Allah, dapat melakukan amal ibadah di sana dengan baik dan tahu membezakan keutamaan dalam kerja Haji , sentiasa bersikap tawadduk dan menghindari sifat sombong dan takbur, InsyaAllah ianya dapat menyumbang kearah jalan bagi memperolehi Haji Mabrur.

Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada Jemaah Haji Malaysiia dan saya doakan pulang dengan membawa kemenangan. InsyaAllah.

Wassalam.