Assalamualaikum wbt.

Selepas solat Subuh di Masjidil Haram dan ketika melangkah keluar masjid saya begitu terkejut apabila melihat terlalu ramai askar Saudi yang berbaris di luar masjid. Apa hal pulak ni ? Ingatan saya sebenarnya untuk bersegera pulang ke hotel kerana ikut perancangan group kami akan memanjat Jabal Nur seawal pagi pada hari ini. Almaklum sekarang ini musim panas dan jika lambat mendaki, cuaca sudah semakin terik dan pasti memenatkan. Sampai sahaja di hotel, saya diberitahu oleh Ustaz Uwies bahawasanya hari ini ialah 1 Syaaban, kebanyakkan jalan utama ke Masjidil Haram ditutup kerana pada pagi ini Pintu Kaabah akan dibuka. Kaabah akan dicuci. Dan kelazimannya Pintu Kaabah ini mula dibuka seawal jam 6 pagi dan akan ditutup 4 jam kemudiannya.

Oleh yang demikian, rancangan asal untuk mendaki Jabal Nur harus ditangguhkan demi melihat peristiwa bersejarah ini. Sepanjang 19 tahun terlibat dalam industri Umrah, baru 2 kali saya melihat Pintu Kaabah dibuka. Kali pertama semasa lawatan Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri kita menunaikan Umrah pada tahun 1996 yang lalu, jika saya tidak silap. Tetapi kali ini lebih istimewa kerana Pintu Kaabah dibuka agak lama. Askar-askar yang saya lihat tadi telah membentuk benteng di sekeliling Kaabah. Ini bagi memudahkan kerja-kerja mencuci Kaabah dilakukan. Disamping itu ramai pembesar-pembesar negara juga dibenarkan masuk ke dalam Kaabah. Kami sebagai jemaah hanya melihat sahaja dari jauh.

Pintu Kaabah dibuka

Dalam asyik memerhati peristiwa bersejarah ini, alangkah baiknya jika saya melakukan Tawaf Sunat. Dapat pahala, cetus hati saya. Saya bersama Ustaz Uwies melakukan Tawaf Sunat dan ketika melepasi 1 pusingan tawaf boleh saya lakukan istilam sambil melihat suasana di sekitar Kaabah. Ketika asyik melakukan Tawaf Sunat dan pada pusingan ke-6, tiba-tiba tawaf kami terhenti kerana terdapat deretan askar Saudi telah menahan jemaah-jemaah yang sedang tawaf dan membentuk laluan utama untuk Pembesar Negara melaluinya dan terus menuju ke Pintu Kaabah. Kabarnya Gabenor Makkah akan memasuki Pintu Kaabah sebentar lagi dan kami terpaksa menunggu sekitar 5 minit sebelum dapat meneruskan pusingan tawaf kami semula.

Tawaf terhenti bagi memberi laluan Gabenor Makkah memasuki Kaabah

Selesai melakukan Tawaf Sunat dan mengambil beberapa gambar sebagai kenang-kenangan, saya bersama Ustaz Uwies kembali semula ke hotel dan bersarapan pagi sekali lagi. Almaklum semasa di sini perut asyik rasa minta diisi sahaja. Tiba-tiba isteri saya Hjh Norhayati “call” mahu berjumpa dengan saya. Rupa-rupanya kabar yang ingin disampaikan lebih mengejutkan saya. Beliau bersama Kak Zaiton Hassan dan pembantunya Habiyoh dapat bertemu dengan insan Bani Syaibah, pemegang Kunci Kaabah bersama anak lelakinya. Hanya keturunan Bani Syaibah sahaja yang boleh membuka Kunci Kaabah, orang lain tidak boleh hatta Raja Saudi sendiri. Amanat ini diperturunkan dari zaman sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul lagi. Ini istimewanya keturunan Bani Syaibah.

Pemegang Kunci Kaabah keturunan Bani Syaibah

Sempat Kak Zaiton Hassan pengasas produk Umaira diambil gambar kenangan semasa keluar dari Masjid bersama insan istimewa ini

Saya melihat Kak Zaiton Hassan, wajahnya bukan main berseri-seri lagi kerana dapat berjumpa dengan Pemegang Amanah Kunci Kaabah. Malah dapat diambil gambar lagi. Yang anehnya keturunan Bani Syaibah ini semasa keluar dari masjid langsung tiada pengawal yang mengiringinya. Jemaah-jemaah langsung tidak perasan insan ini sebenarnya begitu istimewa sekali. Saya tanya isteri bagaimana boleh kenal insan ini. Katanya mereka menunggu selama 4 jam di dataran Kaabah dan melihat sendiri individu ini yang mengunci Pintu Kaabah dan sebaik sahaja insan ini turun dari tangga Kaabah, mereka terus mengekori keluar.

Langsung tiada pengawal yang mengiringi insan istimewa ini keluar dari Masjidil Haram

Dan yang lebih menarik, insan ini begitu baik dan tidak sombong, malah ketika diberi isyarat untuk mendoakan kesejahteraan untuk mereka, insan ini terus sahaja mendoakan sambil di”amin”kan oleh mereka. Subhanallah…Berkat kesabaran menunggu akhirnya dapat hasil yang menggembirakan hati. Rasanya jika tidak kerana mereka saya sendiri tidak kenal siapa Pemegang Kunci Kaabah yang sebenarnya.

Wassalam.